SJK TIADA DALAM PERLEMBAGAAN
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Dato Mohd Noh Abdullah
ISU sekolah vernakular atau sekolah jenis kebangsaan (SJK)
kembali hangat diperkatakan susulan cadangan Timbalan Ketua Umno Bahagian
Petaling Jaya Utara, Mohamad Azli Mohemed Saad yang mahu isu tersebut
dibahaskan dalam Perhimpunan Agung Umno, November ini.
Cadangan tersebut mendapat bantahan pelbagai
pihak termasuk Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun yang mengatakan
parti itu akan terus mempertahankan hak masyarakat Cina kerana menurutnya,
mempelajari bahasa ibunda merupakan hak di bawah Perlembagaan.
Susulan itu, Sinar Harian menemubual bekas Hakim
Mahkamah Rayuan, DATUK MOHD NOOR ABDULLAH bagi mendapatkan penjelasan
terperinci mengenai kedudukan sebenar sekolah vernakular mengikut Perlembagaan
Persekutuan.
Perkara
152 Perlembagaan Persekutuan sering dijadikan alasan untuk pertahan SJK. Boleh
Datuk terangkan kedudukan SJK mengikut Perkara 152 ini?
Dalam Perlembagaan telah menyatakan bahasa
kebangsaan ialah bahasa Melayu. Tetapi tiada seorang pun boleh disekat dan
dihalang dari menggunakan, mengajar atau belajar bahasa lain seperti terkandung
dalam klausa (a) Perkara 152.
Dari satu sudut, menjadi tanggungjawab kerajaan
untuk perkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dengan menyediakan
sekolah untuk mengajar dan belajar bahasa Melayu.
Malah bahasa Melayu yang asalnya ditulis dalam
tulisan jawi diganti dengan tulisan rumi bagi mudahkan semua orang belajar
bahasa Melayu. Kerana itu, kerajaan sediakan sekolah sekolah kebangsaan, bukan
sekolah Melayu.
Dari sudut lain pula, tidak boleh dihalang terus
atau disekat sesiapa saja di negara ini yang mahu guna, belajar atau
mengajar bahasa ibundanya di
mana-mana dan pada bila-bila masa. Ini hak
individu yang tidak boleh dilarang. Siapa individu ini? Boleh jadi mereka
adalah warganegara Malaysia,
pemastautin atau pelancong di sini. Yang
kebanyakan orang tak faham ialah guna, belajar dan mengajar secara sendirian.
Kerajaan tidak campur dan kerajaan tidak (perlu)
sediakan sekolah atau kelengkapan. Ini urusan peribadi individu tersebut. Itu
yang kita kena faham. Sekolah persendirian, sekolah Cina, Tamil dan sekolah apa
bangsa sekalipun di negara ini yang nak belajar bahasa ibundanya,
buatlah, teruskanlah tapi kena tanggung sendiri.
Katakan orang Cina nak belajar bahasa Cina,
mereka boleh buat sekolah tanggungan sendiri. Jadi sekarang ini hanya ada dua
jenis sekolah iaitu sekolah ditanggung kerajaan dan sekolah dibiayai
masyarakat. Jadi mana kita nak letak SJK kalau merujuk Perkara 152? Memang
tiada peruntukan membenarkan penubuhan SJK menurut Perlembagaan.
Bagaimana
pula dengan klausa (b) Perkara 152 yang menyatakan kerajaan Persekutuan dan
manamana kerajaan negeri ada hak untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan
pengajian bahasa mana-mana kaum lain. Adakah ini termasuk penubuhan SJK?
Dalam klausa (b), ia bukan merujuk kepada
sekolah. Sekolah menggunakan istilah ‘mengajar’ dan ‘diajar’, tetapi di bawah
klausa (b) istilahnya ialah ‘menggunakan’ dan ‘mengkaji’. Sudah tentu istilah
yang berbeza ini membawa maksud berlainan. Istilah ‘menggunakan’ dalam klausa
(b) itu bermaksud bahasa lain boleh digunakan di pintu keluar masuk negara, di
tempat berbahaya atau larangan seperti kem askar yang perlu memberi notis
kepada orang awam, di tempat pelancongan atau bersejarah di mana kerajaan
ada budi bicara untuk guna bahasa lain. Perkataan ‘pengajian’ pula merujuk
kepada kajian bahasa di pusat atau sekolah bahasa di universiti.
Kajian ini termasuk mengetahui asal usul dan
perkembangan tamadun sesuatu bahasa. Jadi klausa (b) tidak boleh digunakan
untuk pertahan SJK.
Begitu juga dengan mengajar subjek lain dalam
bahasa ibunda. Itu memang saya tidak setuju kerana yang dibolehkan ialah
mengajar bahasa. Kalau mahu ajar subjek lain dalam bahasa ibunda, ia sudah
terkeluar. Perkara 152 sebut ada tiga jenis bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa
lain, dan bahasa komuniti atau bahasa masyarakat lain. Bahasa Melayu tanggungan
kerajaan, bahasa lain tanggungan masing-masing manakala bahasa komuniti atau
bahasa masyarakat lain itu
yang boleh digunakan untuk kajian.
Jadi adakah
penubuhan SJK ini salah di sisi Perlembagaan?
Begini, tiada peruntukan melarang kerajaan
membantu atau mewujudkan SJK. Tetapi tidak ada juga peruntukan membenarkan
kerajaan menubuhkan SJK. Maknanya, kalau nak buat SJK itu dikira secara ihsan
oleh kerajaan.
Dalam erti kata lain, tidak boleh ada pertubuhan
mendesak kerajaan bantu SJK. Berbeza dengan sekolah kebangsaan yang memang
menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengajar bahasa Melayu.
Bagaimana
pula dengan sekolah agama Islam?
Dalam Perlembagaan, ada menyatakan kerajaan
Persekutuan dan negeri boleh sediakan sekolah agama Islam atau membantu
menyediakan sekolah agama Islam dan perbelanjaan sebanyak mana diperlukan.
Ini kerana Perlembagaan telah letakkan Islam
sebagai agama rasmi negara. Tapi perlu diingat, sekolah agama bukan milik
bangsa Melayu kerana Islam agama
universal. Jadi apabila kerajaan sediakan
sekolah agama Islam, ia untuk semua bangsa bukan Melayu saja.
Sejauh
mana SJK dilihat menjadi penghalang perpaduan kaum?
Sekolah kebangsaan, sekolah swasta dan SJK sudah
wujud selepas merdeka. Jadi mereka yang pertahan SJK anggap mengapa perlu
ditiadakan benda yang sudah ada?
Soalnya marilah kita bercakap pasal perpaduan
negara, keharmonian rakyat masa kini INFO dan masa depan. Kalau yang dahulu itu
ada tetapi tidak menjurus kepada perpaduan, maka perlu kaji balik dan tengok
apa yang boleh diperbaiki agar anak cucu kita boleh hidup aman.
Cuba lihat sekarang, siapa pergi sekolah
kebangsaan? Kebanyakannya orang Melayu, jumlah India dan Cina pula sangat
sedikit. Tetapi kita tidak boleh salahkan orang Cina dan India kerana mereka
ada pilihan.
Adakah ini menjurus kepada perpaduan? Jadi
kerajaan dah sediakan platform untuk pecah belah. Ini yang sedih kerana sejak
darjah satu kita dah didik anakanak kita berasingan sekolah. Sekarang sudah ada
sekolah kebangsaan, tetapi pertama, ia tidak menarik.
Kedua, ada alternatif belajar di sekolah lebih
baik atau setaraf sekolah kebangsaan. Maknanya pelajar berkelulusan
sekolah Cina swasta atau SJK Cina ada peluang sama untuk masuk universiti.
Jadi kenapa perlu pergi sekolah kebangsaan?
Apatah lagi ada stigma sekolah kebangsaan lebih
mementingkan agama Islam. Saya tidak kata mari kita hapuskan SJK. Saya cuma
kata tiada peruntukan yang membenarkan kewujudannya.
Jadi,
apa penyelesaian terbaik dalam isu sekolah vernakular ini?
Benda dah ada kalau kita hapuskan pasti
sakitkan hati orang. Jadi apa kata kita jenamakan semula SJK sebagai sekolah
kebangsaan, mata pelajarannya ikut sekolah kebangsaan.
Tetapi sesiapa nak belajar bahasa ibunda
masing-masing, sediakan kemudahan itu. Keperluan untuk pelajari bahasa
ibunda tidak akan memakan masa lama. Dalam tempoh tiga tahun dah boleh fasih.
Kita masih pelihara tradisi setiap
masyarakat dan dalam masa sama tidak jejaskan penggunaan bahasa Melayu
sebagai
bahasa kebangsaan.
Tapi kalau masing- masing bergaduh, ada yang nak
pertahan SJK, ada yang nak mansuh SJK, musnahlah negara kita. Alangkah
cantiknya kalau kerajaan adakan sekolah kebangsaan ini sebagai pengganti
sekolah kerajaan Inggeris sebelum merdeka di mana semua pelajar tidak
kira bangsa belajar di bawah satu bumbung, bermain di padang yang sama dan
makan di kantin yang sama.
Ketika itu tiada siapa mempersoalkan. Di
Singapura, hanya ada satu sekolah, semua pelajar bahasa pelbagai bahasa
di situ. Kalau mereka boleh terima sistem
begitu, kenapa kita tidak?
Selain
SJK, adakah masalah penyatuan kaum berlaku di peringkat institusi
pengajian tinggi?
Kalau ada orang kata saya rasis kerana
persoalkan SJK, saya nak beritahu tentang diskriminasi atau pilih kasih.
Perlembagaan tetapkan institusi pelajaran yang
ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan tidak boleh amalkan diskriminasi
berdasarkan keturunan, bangsa, warna kulit dan kepercayaan.
Saya ingin tanya, apa kedudukan Universiti
Teknologi Mara (UiTM), Kolej Mara dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)?
Jika ia hanya dihadkan untuk orang Melayu atau Cina, maka ia bertentangan
dengan Perlembagaan.
Jadi, sepatutnya kerajaan buat dasar pastikan
institusi pengajian ada penuntut kaum lain melebihi 30 peratus. Jika tidak,
institusi itu boleh dianggap diskriminasi.
Sekiranya
masih ada pihak berdegil tidak mahu terima bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan?
Kalau begitu, kita perlu paksa semua orang guna
bahasa Melayu dengan meminda Akta Bahasa Kebangsaan agar semua urusan
rasmi hanya boleh gunakan bahasa Melayu.
Tapi saya harap janganlah sampai ke tahap itu
kerana sesuatu yang dipaksa pasti akan dapat tentangan.