Friday, 8 April 2016

ISTIADAT MENYALANG DATO LEMBAGA ADAT - pada Isnin,4 April 2016 di Balai Lela Sedia, Undang Luak Rembau,

Tradisi  Istiadat Mengadap  Penuh Adat Istiadat gilang gemilang.
Oleh : Mohamad Abd Ghani


Rembau: Pepatah ‘Biar mati anak jangan mati adat’, tidak boleh disamakan  dengan  perbuatan ‘korban’ orang-orang jahilliah terhadap anak masing-masing di kuil-kuil, tetapi adalah ungkapan  lambang keadilan yang menjadi pegangan asas sistem hidup memelihara peraturan bermasyarakat dalam Adat Perpatih.
Adat tradisi Adat Menyalang Datuk Lembaga dan Buapak Delapan adalah peraturan adat yang dipelihara dalam kehidupan masyarakat Adat Perpatih menggambarkan keunikan Adat Perpatih  yang menjadi amalan turun temurun pengamal Adat Perpatih di Negeri Sembilan.
Istiadat Menyalang ini adalah adat istiadat merafak sembah kepada Undang Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman, sebagai tanda menjunjung kasih dan taat  setia penyandang pusaka lembaga yang baharu mengadap dengan penuh beradat istiadat sebagai pelengkap atau istiadat terakhir perlantikan mereka.
Besar Suku Seri Lemak, Hashim Sharif membawa tepak sirih. 

Tradisi istiadat kali ketujuh sejak tahun 1999 berlangsung di Balai Lela Sedia, kediaman rasmi Undang Luak Rembau penuh gilang gemilang menyaksikan empat orang penyandang pusaka Datuk Lembaga dan seorang Buapak Delapan Kampung Suku Biduanda dilantik bersama isteri  mengadap dan  merafak sembah  dengan mempersembahkan wang adat (bahara), tepak sirih diringin nasi besar (panco) dan berisi telur, wajik, dodol, dan sekuntum bunga, manakala Datuk Undang membalas dengan sepersalinan pakaian dan sebilah keris.
Mereka ialah penyandang Pusaka Lembaga terdiri daripada Dato’ Sinda Maharaja Baharin Sharif (Suku Seri Lemak), Dato’ Andika, Muhammad Hanif Shaharuddin (Suku Batu Belang), Dato’ Setia Maharaja, Mohd Sharif Shahudin (Suku Biduanda Setia), Dato’ Ganti Maharaja, Mohd Yusof Abd Rahman (Suku Anak Melaka) serta Dato’ Menteri Maharaja, Mohd Said Mustafa (Suku Biduanda Lela Maharaja) iaitu Buapak Delapan Kampung Suku Biduanda.
Dato Lembaga Suku Seri Lemak,
Dato Sinda Maharaja, Baharin bin Sharif menyembah Dato Undang.

Majlis turut menyaksikan kehadiran rombongan penyandang pusaka sukunya bersama anak buah diiringi dengan pasukan rebana mengadap, menunjukkan ikatan kukuh dan kesepaduan dalam memperakukan penyandang pusaka adat tersebut.
Menurut Datuk Muhamad Sharip percaya istiadat ini akan menjadi sejarah kepada mereka untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Beliau berharap agar istiadat ini dijadikan Adat Istiadat yang berterusan demi memartabatkan dan memperkasakan Adat Perpatih di Luak Rembau
Pada majlis tersebut juga, Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman turut menganugerahkan gelaran Lela Pahlawan, Lela Putera, Lela Paduka dan Lela Bongsu kepada anak-anaknya.
Turut hadir Undang Luak Johol, Datuk Mohd Jan Abdul Ghani,  Menteri Belia dan Sukan, Tuan Khairy Jamaludin, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr Awaludin Said,  Pengerusi Jawatankuasa Modal Insan, Belia dan Sukan, Dato’Zaifulbahri Idris, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Dato Abd Razak Abd Said, dan Pegawai Daerah Rembau, Amino Agos Suyub
Para Tetamu Khas yang hadir

Sejak dulu amalam perlantikan pusaka adat di Rembau diamalkan secara demokrasi. Apabila ada kekosongan sesuatu pusaka adat disebabkan kematian atau ‘memuntahkan’ pusaka dan sebagainya setiap ahli dalam suku bertanggungjawab dan berhak dan bebasnuntuk memilih atau dipilih.
Di luak Rembau, pemilihan penyandang pusaka adat bermula selepas 100 hari kekosongan berlaku dan  diadakan kerapatan adat  mencari ‘benih’ dalam menentukan giliran ‘perut’. Kemudian senarai pendek dipersembahkan kepada Datuk Undang Luak Rembau dan diumumkan keputusan dalam satu kerapatan adat di Balai Undang Luak Rembau.
YB Khairy Jamaludin, Menteri Belia dan Sukan
merangkap Ahli Parlimen Rembau,



No comments:

Post a Comment