Monday 17 February 2014

RUMAH UMNO REMBAU

Rumah UMNO bahagian Rembau terbiar sepi. Banglo separuh batu dan kayu dua tingkat ini dianggap bersejarah kerana pernah menempatkan Kelab Melayu Rembau pada 1948. Tinjauan mendapati terdapat bil Syarikat Air Negeri Sembilan RM300 dan bil Tenaga Nasional RM100 terselit pada pintu pagar rumah itu. Beliau khuatir, bangunan berkenaan digunakan pihak tidak bertanggungjawab atau menjadi sarang haiwan berbisa. Veteran UMNO, Aris Abu, 71, tidak setuju bangunan ini dirobohkan kerana nilai sejarahnya.

******************************
Rumah bersejarah terbiar

Berita Harian 14 Jun 2010 .

REMBAU: Rumah UMNO bahagian Rembau terbiar sepi selepas pusat perkhidmatan masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chembong dan Ahli Parlimen Rembau berpindah ke tempat lain.

Banglo separuh batu dan kayu dua tingkat ini dianggap bersejarah kerana pernah menempatkan Kelab Melayu Rembau pada 1948 dan digunakan sebagai Undang Rembau English School (URES) serta Dato Abdullah School (DAS) pada 1950-an, yang kemudian berpindah ke bangunan sekarang. Rumah itu dikatakan kosong selepas Pilihan Raya Umum ke-12 menyebabkannya itu terbiar sepi walaupun ada nilai sejarah. Tinjauan mendapati terdapat bil Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) RM300 atas nama Setiausaha Rumah UMNO Rembau, yang sudah meninggal dunia dan bil Tenaga Nasional Bhd (TNB) RM100 atas nama Pejabat Ahli Parlimen Rembau, terselit pada pintu pagar rumah itu.

Seorang penduduk, Ramli Abdullah, 65, berkata bangunan itu tidak sepatutnya ditinggalkan.

Katanya, bangunan yang mempunyai nilai sejarah berkaitan orang Melayu dan institusi pendidikan di daerah ini perlu dijaga.

“Saya bimbang rumah ini akan reput dan roboh menyebabkan kita kehilangan bangunan yang sepatutnya dipertahankan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, pemilik bangunan itu perlu melakukan penyelenggaraan atau menyewakannya.

Beliau khuatir tanpa usaha itu, bangunan berkenaan digunakan pihak tidak bertanggungjawab atau menjadi sarang haiwan berbisa.

Veteran UMNO, Aris Abu, 71, mencadangkan UMNO menjadikan bangunan itu sebagai galeri atau muzium mini sejarah Rembau atau UMNO Rembau.

“Saya tidak setuju bangunan ini dirobohkan kerana nilai sejarahnya. Ia patut dijadikan mercu sejarah perjuangan politik UMNO Rembau dan institusi pendidikan daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, sejarah pendidikan Melayu daerah ini bermula di situ, malah UMNO Rembau pernah beroperasi di situ menyebabkan pihak berkenaan perlu mengambil inisiatif memuliharanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_Rumahbersejarahterbiar/Article


REMBAU - LAKARAN


SELAMAT DATANG KE REMBAU